Home / Kecantikan / 47 Produk Pelansing Badan Disenarai Hitam

47 Produk Pelansing Badan Disenarai Hitam

KUALA LUMPUR: Sebanyak 47 produk pelangsing badan, kosmetik dan ubat-ubatan tradisional berdaftar dengan Kementerian Kesihatan disenarai hitam kerana dikesan mengandungi pelbagai bahan kimia yang boleh memudaratkan pengguna.

Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Mazlan Ismail berkata, selain produk tiruan, pihaknya terpaksa mengambil tindakan sedemikian berikutan ada pengasas produk tidak berkelayakan menghasilkan produk sehingga berlaku lambakan produk kecantikan haram di pasaran yang tidak menepati piawaian ditetapkan.

Katanya, nilai rampasan setiap produk adalah tinggi dan meningkat setiap tahun membabitkan RM385,923 pada 2010, RM8 juta bagi 2011 dan RM155,743 dari Januari hingga Jun tahun ini.Menurutnya, pihak berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Racun 1952 yang mengenakan denda minimum RM5,000, manakala bagi Akta Jualan Dadah, denda maksimum RM50,000 jika didapati bersalah.

“Tindakan segelintir pengusaha menghasilkan produk kecantikan dan beroperasi secara haram serta tiada kelayakan, memberi kemudaratan kepada pengguna kerana ada campuran bahan kimia yang boleh merencatkan saraf hingga menjadikan pengguna gila.

“Antara bahan terlarang digunakan dalam produk adalah sibutramine yang boleh menyebabkan pusat makan di bahagian otak tersekat hingga mendorong rasa kenyang atau kurang selera makan.“Bagi barangan kosmetik pula, krim tretinoin dan bahan pemutih hidroquinon akan menyebabkan kulit nipis dan terdedah kepada kanser kulit serta tretinoin.

“Bagi produk tradisional pula, ada campuran bahan steroid dan antihistamine boleh memudaratkan jantung dan buah pinggang,” katanya.Bagi mengatasi masalah itu, beliau berkata, pihaknya membekalkan alatan khusus kepada lebih 1,700 farmasi di seluruh negara supaya pengguna atau pemborong dapat melakukan pemeriksaan sendiri sama ada produk atau ubat-ubatan dibeli tiruan atau sebaliknya.

“Selain itu, bagi setiap rampasan, ujian dilakukan terhadap produk atau ubat-ubatan itu di makmal dan tindakan dikenakan terhadap pemilik produk mengikut pelbagai kategori atau jenis kesalahan.“Kementerian juga sentiasa melakukan pemantauan secara berkala bagi memastikan barangan produk tiruan dapat dikawal dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Gabungan Persatuan Pengguna Pengguna Malaysia (Fomca), Ratna Devi Nadarajan berkata, kurangnya penguatkuasaan undang-undang menyebabkan kebanjiran produk tiruan. “Ketiadaan garis panduan ketat dalam mengiklankan produk menyebabkan sesiapa saja boleh memalsukan produk itu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *