Home / ISU / “amat memalukan” dan “celupar” keluar dari mulut seorang perdana menteri-Muhyiddin Yassin

“amat memalukan” dan “celupar” keluar dari mulut seorang perdana menteri-Muhyiddin Yassin

PERDANA Menteri Najib Razak sudah tidak dapat lagi mengawal perasaan disebabkan “situasi dan keadaannya” sehingga mengeluarkan ungkapan kesat “kepala bapak kau”, kata bekas timbalannya, Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata, ucapan Najib itu “amat memalukan” dan “celupar” keluar dari mulut seorang perdana menteri.

 

“Mungkin kerana situasi dan keadaan yang beliau hadapi tidak lagi dapat dia mengawal perasaan.

 

“Iya, mungkin ada perbezaan politik tapi janganlah sampai menjatuhkan maruah dan harga diri seseorang,” kata ahli Parlimen Pagoh itu dalam rakaman video yang disiarkan melalui akaun Facebook rasminya.

 

Muhyiddin mengulas ucapan Najib semalam yang menggunakan perkataan “kepala bapak kau” sebagai menjawab kritikan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad terhadapnya.

 

Dalam ucapannya itu, Najib mengulas hasrat Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir yang mahu mengkaji semula semua perjanjian projek antara Malaysia dan China, sekiranya menang pilihan raya umum akan datang nanti.

 

“Mereka mengancam untuk mengubah segala-galanya, kononnya (Malaysia) menjual kedaulatan. Apa? Kepala bapak kau! Tak logik,” katanya dengan bersemangat di depan ribuan perwakilan yang memenuhi dewan persidangan di Ibu Pejabat MCA di Kuala Lumpur.

 

Menurut Najib, perjanjian kerjasama serta hubungan ekonomi Malaysia dengan China bukan bermakna kedaulatan negara tergadai.

 

Bagaimanapun, Najib kemudian meminta maaf kerana menggunakan “bahasa kasar” dalam ucapannya.

 

Menurut Muhyiddin, kenyataan Najib itu pasti akan menimbulkan kemarahan rakyat terutamanya apabila perdana menteri menyentuh tentang Dr Mahathir.

 

“Soal yang berbangkit rakyat tanya di mana harga diri? Di mana jati diri? Lebih-lebih lagi bila dia menyebut perkataan yang pada saya cukup kesat, maki hamun.

 

“Ini sesuatu yang biadaplah. Cukup teruk. Jadi amat memalukan seluruh rakyat Malaysia.

 

“Tapi kalau kita fikir balik, apa yang boleh kita harapkan lagi daripada Datuk Seri Najib ni,” katanya. – 6 November, 2017.

https://www.themalaysianinsight.com

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!