Home / Kisah / Kerajaan Pahang menyiasat penganugerahan kepada seorang pelakon berhubung kes penipuan

Kerajaan Pahang menyiasat penganugerahan kepada seorang pelakon berhubung kes penipuan

PEKAN 6 Okt, 2017 – Kerajaan Pahang menyiasat penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada seorang pelakon yang disiasat berhubung kes penipuan penjualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta.

 

Setiausaha kerajaan negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, tindakan awal telah diambil dengan menyemak sekiranya nama pelakon itu pernah disenaraikan sebagai seorang daripada penerima penganugerahan darjah atau pingat kebesaran daripada istana Pahang.

 

“Semua dalam siasatan. Tindakan boleh diambil jika (pelakon itu) menggunakan gelaran Datuk tanpa pertauliahan. Jika benar gelaran tersebut diberikan, setiap penerima perlu menjaga etika dan kemuliaannya agar institusi istana terpelihara,” katanya.

 

Muhammad Safian berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Perbarisan Perasmian Latihan Kem Tahunan 2017 Rejimen 505 Askar Wataniah, Sungai Miang di Pekan, hari ini, yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

 

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan membawa perkara itu kepada pengetahuan Sultan Pahang untuk tindakan selanjutnya seperti penarikan semula gelaran tersebut.

 

​Sehubungan itu, Muhammad Safian menasihatkan semua penerima darjah atau pingat kebesaran dari istana Pahang untuk menjaga etika dan berkelakuan sopan bagi menjaga kemuliaan pemberian gelaran itu dan institusi kesultanan. – Bernama

https://www.malaysianreview.com

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!