Home / Kisah Tauladan / Sayang Yang Tidak Berpenghujungmesra

Sayang Yang Tidak Berpenghujungmesra

Manusia memulakan kehidupan di dunia sebagai seorang bayi yang mempunyai keterbatasan untuk melakukan sesuatu perkara dan suci daripada dosa. Tetapi Tuhan itu Maha Adil, dikurniakan kepada setiap penerima badan baru itu dua orang insan untuk berkongsi hati, menelusuri setiap pergolakan jiwa si kecil yang akan melalui pelbagai proses peralihan, dari seorang kanak-kanak kepada mereka yang tahu membuat penilaian, yang mana satu intan dan yang mana satu butir-butir kaca.

Sungguh memang tidak dapat dinafikan, ibu-bapa itu merupakan salah satu anugerah terhebat daripada Tuhan.“Kadang-kadang kita harus belajar

 bagaimana untuk bertolak ansur dengan perasaan,” kata seorang ibu pada anaknya pada suatu hari.
Anak lelakinya itu baru berusia sebelas tahun, masih mentah dan belum bersedia untuk memahami asam garam yang menjadi rutin orang dewasa.

“Amin tidak faham, ibu,” balas si anak, berterus-terang.

“Ibu tidak memaksa Amin untuk mengerti sekarang, kerana kehidupan Amin baru selangkah perjalanan. Cuma ibu ingin menyampaikan pesan, di saat kita terbuai dengan kasih sayang yang mula bercambah, jangan lupa akan asal cinta yang mula memberikan cahaya,” demikian kata ibunya mengakhiri perbualan, meninggalkan si anak dengan seribu satu persoalan.
 

Masa berlalu begitu pantas, menjadi saksi kepada si anak yang mengecapi pelbagai kejayaan sejak dari bangku persekolahan hinggalah melangkah keluar sebagai seorang graduan kejuruteraan di sebuah universiti tempatan. Segalanya berlalu mengikut perancangan. Amin ditakdirkan berkahwin pada usia yang muda dan akhirnya dikurniakan dengan beberapa orang cahaya mata.

Ibu –bapanya hanya mampu berkongsi kebahagiaan anak mereka dari jauh, memandangkan kekangan masa yang menjadi penghalang buat Amin untuk membawa ahli keluarga pulang ke kampung. Sesekali panggilan telefon mengubat kerinduan si ibu yang berterusan mengharapkan anaknya masih lagi mendambakan kasih sayang kedua-dua orang tua.

Hanya doa menjadi sandaran buat si ibu yang tetap yakin bahawa anaknya itu, walaupun sudah berkeluarga, tetap tidak akan melupakan insan yang mula-mula memberikannya kasih sayang.

Sesungguhnya, penantian itu tetap perit walaupun dalam kesabaran.

Kisah di atas merupakan satu gambaran klasik akan kegagalan seorang anak untuk mengekalkan hubungan dengan ibu-bapanya di atas satu titian yang seimbang. Ramai mengaitkan pangkat dan jawatan yang menyebabkan seorang anak mudah lupa diri, tetapi ramai pula yang terlepas pandang bahawa hakikat kehidupan itu bukanlah senang seperti yang dijangka.

Kita berdiri di atas satu rantaian hubungan kekeluargaan, yang mana ia akan bergerak dari satu generasi hinggalah satu generasi, sejak kita bergelar seorang anak hinggalah berakhir dengan waktu tua akan menjengah usia. Pada saat itulah hati mudah terusik dan memerlukan perhatian yang lebih daripada anak-anak.

Tanpa kita sedari atau pun tidak, pautan kasih sayang terhadap ibu-bapa akan semakin terlerai apabila seseorang itu mendirikan rumahtangga, dengan aliran cinta itu akan beralih kepada isteri dan anak-anak. Dalam suasana inilah kita cenderung untuk memberikan yang terbaik buat keluarga baru dan sekadar lebih kurang kepada ibu dan ayah.

Memang akan ada keadaan yang mana kita lebih risau akan anak yang terseliuh sedikit di kakinya berbanding dengan keadaan ibu yang sudah berbulan-bulan tidak mampu berjalan di kampung.

Memang akan ada saat di mana kita pulang ke kampung dalam keadaan terpaksa tanpa ada keinginan yang membuak-buak untuk bersua muka dengan mereka yang sentiasa menanti kehadiran anak-anak yang tercinta.

Dan tidak mustahil juga perasaan terhadap mereka terus luput dalam ingatan sehingga ibu-bapa terpaksa mengingatkan bahawa mereka masih lagi wujud untuk berkongsi ruangan dalam hati.

Bersikap terbuka adalah satu pendekatan yang bagus dalam hal ini. Kita tidak mampu memuaskan hati mereka dari segenap segi, tetapi cukuplah sekiranya apa yang kita buat itu selari dengan pengetahuan bahawa berbuat baik terhadap ibu-bapa itu merupakan satu perkara yang paling dituntut dalam agama.

Jadilah anak yang berjasa selagi ada masa, kerana kita akan melalui satu masa yang membuatkan kita mengerti bahawa insan yang dulunya menjaga dan menjadi tempat kita mengadu kini telah pergi buat selama-lamanya.mesra.net

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!