Home / Bicara agama / siak masjid terkejut kerna melihat sekumpulan anjing liar berada dalam masjid

siak masjid terkejut kerna melihat sekumpulan anjing liar berada dalam masjid

 

Rakaman CCTV yang menunjukkan sekumpulan anjing memasuki ruang masjid,

 

IPOH – Kariah Masjid Al-Ansar Bandar Meru Raya terkejut selepas melihat rakaman CCTV yang menunjukkan sekumpulan anjing liar memasuki ruang masjid itu, 29 September lalu.

Kejadian sekitar jam 4.15 pagi itu melibatkan lapan ekor anjing.

 

Siak masjid, Muhammad Radzi Yaakub berkata, pihaknya mengesyaki perkara itu berlaku akibat kecuaian selepas melihat pintu belakang masjid tidak ditutup seperti biasa.

“Saya percaya, anjing ini masuk ke masjid menerusi pintu belakang yang tidak ditutup. Selepas Isyak, semua pintu biasanya ditutup.

 

“Mungkin malam itu ada jemaah yang tidak menutup pintu,” katanya.

Muhammad Radzi berkata, perkara itu berlaku buat kali pertama sejak masjid dirasmikan pada 2015 lalu.

“Ini kali pertama masjid ini dimasuki anjing. Saya percaya, anjing ini datang dari kawasan pembinaan berhampiran.

“Biasanya kumpulan anjing ini berada di deretan rumah kedai berhampiran.

 

“Saya minta pihak berwajib ambil tindakan bagi menangani masalah ini,” katanya.

Seorang lagi siak, Sulaiman Awang Mat, 60, berkata, kejadian anjing masuk ke masjid itu sungguh mengejutkan.

“Pagi Subuh tu, memang saya datang awal ke masjid dan ternampak kesan binatang masuk ke dalam masjid.,

“Bila tengok CCTV, baru saya tahu, binatang tu, anjing,” katanya.

 

Katanya, diharap orang ramai dapat memberi kerjasama untuk menutup pintu masjid.

“Kita nak letak notis, macam tak bersesuaian. Jadi diharap semua pihak dapat menutup setiap pintu masuk ke masjid bagi mengelakkan perkara sama berulang,” katanya.

 

Dalam pada itu, pengerusi masjid, Muntaha Kamil Halid berkata, pihaknya sudah merujuk perkara berkenaan kepada pihak berwajib khususnya berhubung soal pembersihan masjid.

Katanya, setelah meneliti rakaman CCTV, pihak masjid dimaklumkan pembersihan masjid hanya perlu dibuat menerusi kaedah biasa.

 

“Kami merujuk perkara berkenaan kepada timbalan mufti dan kami yakin ia dalam keadaan kering.

“Jadi kami bersihkan menggunakan vakum dan semburan sahaja,” katanya.

 

Sementara itu, pihak Majlis Bandaraya Ipoh memaklumkan akan mengambil tindakan berhubung masalah berkenaan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!